Kekalkan Aura Romantik

aura romantikSebelum kahwin, bukan main hebat lagi ‘mengayat’ dan melakukan perkara penuh kejutan, konon mencetuskan aura romantik dalam menjalin perhubungan. Bagaimanapun, selepas berkahwin, jangan mimpi hendak dapat semua aura romantik itu lagi.

Begitulah antara ayat yang lazim dilemparkan isteri bagi meluahkan rasa tidak puas hati, apabila suami tidak lagi menunjukkan unsur sebagai lelaki romantik, berbanding ketika bergelar teman lelaki dulu, malah ada mendakwa kian membosankan. Lebih-lebih lagi, apabila sudah mempunyai anak. Jangan kata hendak romantik, meluangkan masa dengan isteri pun tiada masa.

Mengapakah pasangan hilang sifat romantik selepas berkahwin? Benarkah kehadiran anak membuatkan mereka hilang perasaan romantik? Atau mungkin sifat itu masih ada tetapi pendekatannya yang berbeza.

Istilah romantik
Sifat romantik sebenarnya subjektif kerana ia bergantung kepada budaya. Bagaimanapun romantik boleh ditafsirkan sebagai sifat meliputi pemikiran, perasaan dan perbuatan. Sebagai contoh, perbuatan dilakukan seseorang itu mungkin melalui pemberian hadiah atau pemikiran, misalnya pasangan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) menandakan diri diingati.
Melihat pasangan di Barat, mereka kelihatan lebih romantik apabila sifat itu banyak diterjemahkan menerusi interaksi, termasuk nama panggilan pasangan seperti love, dear, darling dan baby, selain menerusi perbuatan seperti memeluk dan mencium pasangan mereka.
Dalam konteks budaya ketimuran khususnya Melayu, sifat romantik lazimnya tidak ditunjukkan secara umum terhadap pasangan, malah ia juga tidak mudah ditonjolkan terutama dalam kalangan lelaki terhadap wanita yang dicintainya.

Namun berbeza bagi wanita, mereka gemar jika sifat romantik ditunjukkan pasangan mereka lebih-lebih lagi selepas berkahwin.

Elak romantik takut persepsi sekeliling
Bagaimanapun, ada juga yang mempertikaikan mengapa zaman dating, lelaki hendak berpegangan tangan dengan wanita yang disayangi ketika berasa di tempat awam, namun selepas bergelar suami, mereka berubah dan tidak lagi melakukannya. Kebiasaannya pasangan yang sudah berkahwin jarang menunjukkan sifat romantik mereka seperti waktu bercinta dulu, namun ia bergantung kepada individu. Lazimnya lelaki sudah berkahwin akan berasa segan untuk memegang tangan pasangan mereka di khalayak umum kerana beranggapan, kemesraan itu hanya perlu ditunjukkan ketika menjadi kekasih untuk memenangi hati wanita dicintai sebagai satu jaminan pasangan akan dapat menerima mereka dengan mudah.

Definisi romantik berubah
Wanita hendak pasangan yang dinikahi menghargainya, malah akan berasa selesa dan bahagia dengan lelaki yang dirasakan boleh menjadi akrab. Wanita juga begitu sensitif pada perubahan, apabila suami tidak menunjukkan sifat romantik seperti ketika pasangan kekasih dulu, mereka mudah terasa, tidak berpuas hati dan seakan merajuk.
Begitu juga saat meraikan hari atau peristiwa penting seperti menyambut hari jadi dan sebagainya yang biasanya, pasangan akan dihadiahkan coklat dan bunga, selain makan malam ditemani cahaya lilin di restoran. Apa yang pasti, suasana romantik dan indah banyak mewarnai kehidupan sebelum berkahwin.
Apabila sudah berkahwin, lilin hanya cahaya menyinari ruang rumah tatkala putus bekalan elektrik. Itu antara keluhan rasa kecewa segelintir wanita terhadap pasangannya selepas berkahwin. Sebenarnya selepas kahwin, sifat romantik juga berbeza, contohnya suami membantu isteri melakukan kerja rumah, menyediakan hidangan makanan mahupun berkebun bersama. Semuanya dilakukan untuk isteri atau bersama isteri.
Tidak menghairankan, jika ada suami yang terfikir mahu melakukan perkara romantik, namun membatalkan hasrat itu kerana takut tidak kena pada masa dan tempat kerana tidak cukup mengenali isterinya. Hati si isteri sinonim dengan naluri kewanitaannya pula memang mudah tersentuh, namun belum tentu ‘sampai ke jiwa’. Sebagai contoh, apabila suami membelikan sepasang anting-anting mahal dan cantik, tentunya dia akan suka kerana ia pemberian daripada suami namun belum tentu perbuatan itu membuatkannya tersentuh, maka ini belum cukup untuk mentafsir suaminya seorang romantik.

Romantik dalam perkahwinan
Untuk memiliki pasangan sehati sejiwa pun sukar, apatah lagi untuk mengekalkan perkahwinan sehingga ke akhir hayat. Ini kerana mulai saat bergelar suami isteri, kehidupan dilalui bukan sehari dua tetapi berdekad lamanya. Justeru, romantik amat perlu dalam perkahwinan, namun ia bukan satu kemestian setiap masa, sebaliknya pada masa tertentu saja dan perlu dilakukan dengan spontan.
Contohnya, mungkin memeluk isteri dari belakang secara tiba-tiba ketika dia sedang memasak. Ini berbeza daripada kelaziman memeluk isteri setiap pagi sebelum meninggalkan rumah ke tempat kerja atau menyediakan hidangan istimewa tanpa dijangka.

Kehadiran anak
Mengenai perubahan sikap romantik wanita selepas berkahwin, ada kalanya ia juga berlaku. Sudah menjadi fitrah walau ego wanita setinggi gunung, lelaki dijadikan sebagai insan yang suka dimanjakan dan diberikan perhatian oleh wanita. Bagaimanapun, apa yang kerap berlaku selepas mempunyai anak, isteri sebagai ibu akan memberikan lebih banyak perhatian kepada anak.
Pada masa sama kerana ego, suami menunjukkan kononnya tidak memperdulikan isteri dengan harapan dia mahu isteri memberikan perhatian kepadanya. Namun, disebabkan tidak faham ‘bahasa tubuh’ suami dan letih menjaga anak, isteri akan menjadi kurang romantik kepada pasangan mereka.

VN:F [1.9.22_1171]
Rating: 10.0/10 (7 votes cast)
VN:F [1.9.22_1171]
Rating: +7 (from 7 votes)
Kekalkan Aura Romantik, 10.0 out of 10 based on 7 ratings